Thursday 9 May 2013

Inikah kemanisan itu?

Aku bukan sesiapa untuk menghukum mereka. Aku juga bukan ulama yang kental jiwanya dengan ilmu duniawi dan ukhrawi. Aku cuma insan biasa yang hanya mampu menangis bila sedih dan ketawa bila gembira. Aku tidak mahu menjadi hipokrit dan juga tidak mahu dikatakan lemah. Melihat orang gembira adalah lebih membahagiakan diri. Justeru segala rasa marah, kecewa dan hampa kubenamkan jauh ke lubuk hati yang paling dalam. Biarlah ia tersimpan kemas dalam lipatan sejarah. Yang penting ia mungkin akan menjadi satu saat yang paling manis untukku satu waktu nanti. Atau barangkali dapat kubongkarkan buat generasi yang mendatang untuk mengajar mereka bahawa kehidupan ini sangat complecated! Pengalaman jugalah yang menjadikan manusia sentiasa berwaspada dan sering curiga pada sesiapa saja. Bukan semua manusia yang sering ketawa bersama itu adalah teman. Bukan juga manusia yang sering berduka itu adalah terasing


Pengalaman ini membuka mata akalku bahawa mereka yang dikelilingi ramai teman sebenarnya keseorangan. Dan aku yang sering berseorangan mempunyai teman yang paling sedikit. Tapi mereka menyayangiku seikhkas hati. Dan kasih sayang mereka tak mungkin kutemui di pelusuk bumi. Mungkin ada yang tidak tahu bahawa temanku yang paling sedikit inilah yang kutemui ketika aku di jalan buntu. Ketika air mata menjadi teman setia. Ketika mimpi ngeri menjadi teman tidur dan ketika jiwa ditemani kesuraman. Mereka inilah yang muncul dan menghulurkan tangan sewaktu tangan ini sedang khusyuk menadah memohon kepada yang Maha Kuasa agar diberikan jalan keluar dari rasa buntu, dan ditemukan dengan mereka yang dekat denganNya. Benarlah bahawa pertolongan Allah itu biarpun lambat tetapi ia sampai tepat pada waktunya. Memikirkan semua ini menjadikan aku semakin kerdil lantaran keluhan dan rintihan ketika diutuskan ujian buat penebus dosa. Terasa jahil dan malu pada Yang Maha Kuasa.

 Manusia sering melihat kekurangan dirinya sehingga dia lupa untuk bersyukur. Dan manusia juga sering melihat kelebihan dirinya sehingga dia berasa seperti di puncak. Dari terus membiarkan mimpi ngeri terus menjahanamkan diriku, adalah lebih baik aku berhijrah meninggalkan alam yang penuh sendiwara dan penipuan. Biarlah kaki ini melangkah dan berhenti di perhentian yang ditetapkan. Seterusnya memberi bakti kepada yang memerlukan.

 Itulah pengalaman! Sekali pandang ia amat menyakitkan. Namun bila direnung dialah guru kepada kehidupan manusia. Biarlah kita berwaspada dari kita lalai dan bersuka ria. Biarlah kita sedikit teman dari kita berseorangan tanpa sedar. Maka bersyukurlah kerana Allah sedang memerhatikanmu... :)

No comments: